Archive for the ‘Berita Elektrik’ Category

NILAI: Tenaga solar dan biogas yang dihasilkan menerusi Fasa 1 projek tenaga boleh baharu, Integrated Renewable Energy Park, di tapak pelupusan sampah Pajam dekat sini yang siap pada Disember 2011, akan mula dijual kepada Tenaga Nasinal Bhd (TNB) mulai Mac depan.

Tenaga boleh baharu menerusi fasa kedua projek itu yang dijangka siap pada 31 November depan, pula akan dijual kepada TNB pada 8 Januari 2013.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata projek fasa satu menghasilkan lima megawatt tenaga solar dan satu megawatt biogas, manakala fasa kedua pula menghasilkan lapan megawatt tenaga solar dan satu megawatt biogas.

TNB akan membuat pengagihannya tenaga berkenaan di kawasan sekitar Nilai dan Pajam, katanya kepada pemberita selepas meninjau kemajuan projek Taman Tenaga Boleh Baharu itu petang semalam.

Beliau berkata, pelaksanaan projek ini merupakan usaha yang baik bagi menambah pengeluaran tenaga boleh baharu seperti solar dan biogas.

Projek yang dibangunkan Cypark Resources Bhd (CRB) itu adalah projek pertama yang menjana dua jenis tenaga boleh baharu iaitu tenaga solar dan biogas di tapak pelupusan sampah Pajam seluas 32.5 hektar.

Projek itu juga akan menjadi penyumbang utama dalam mencapai hasrat untuk mengurangkan 40 peratus pelepasan karbon dioksida menjelang tahun 2020.

Mohamad berkata, selain Pajam, dua lagi kawasan yang dikenal pasti untuk menjayakan projek yang sama iaitu tapak pelupusan sampah Bukit Palong, Port Dickson seluas 14.22 hektar dan Kuala Sawah, Rantau seluas 11.38 hektar.

Katanya, projek di Bukit Palong dan Kuala Sawah mampu mengeluarkan tenaga boleh baharu sebanyak lima megawatt tenaga solar dan satu megawatt biogas.

“Kerja tapak di Bukit Palong dan Kuala Sawah bermula awal bulan depan dan dijangka siap Jun depan. Apabila semua tapak pelupusan sampah di kawasan pihak berkuasa tempatan di Seremban, Nilai, Port Dickson dan Rembau ditutup, sebuah tapak pelupusan sampah baharu seluas 81.25 hektar akan dibuka di Bukit Nanas, Port Dickson (berhampiran Kualiti Alam Sdn Bhd), menerusi fasa 1 dan dibuka Julai depan.

“Tapak pelupusan sampah di Bukit Nanas yang turut diurus oleh CRB, juga akan dibangunkan untuk mengeluarkan tenaga boleh baharu,” katanya.

Mohamad berkata, apabila kesemua projek ini dilaksanakan sepenuhnya, Negeri Sembilan akan menjadi pertama dan terbesar di negara ini yang mengeluarkan tenaga boleh baharu.

“Yang pentingnya di sini, kita dapat bersama-sama membantu negara mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan pada masa yang sama, kita juga dapat menjayakan dasar teknologi hijau yang telah kita lancarkan tahun lalu,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI (Sinar Harian)

21 Februari 2012

GEORGETOWN – Seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) nyaris rentung apabila terbakar dan melecur di seluruh bahagian badannya selepas pencawang utama TNB di Jalan Kangsar dekat sini meletup secara tiba-tiba.

Dalam kejadian pada jam 7.30 malam itu, Zaini Ismail, 35, dikatakan sedang membaiki kerosakan aliran bekalan elektrik pada pencawang itu dengan diawasi lima pekerja TNB sebelum kejadian.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba salah satu peralatan di pencawang itu meletup dan mengeluarkan api sebelum menyambar mangsa.

Akibat letupan terbabit, beberapa premis di kawasan itu terputus bekalan elektrik.

Pegawai Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Samsudin Ahmad berkata, mangsa mengalami kecederaan parah berikutan hampir 80 peratus badannya melecur.

Samsudin berkata, pihaknya terpaksa menggunakan jaket khas bagi membalut badan mangsa sebelum di kejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan.

“Ketika terkena renjatan elektrik itu, mangsa masih dalam keadaan sedar malah kakitangan TNB yang berada di situ membantu memadamkan api menggunakan pemadam api yang disediakan di dalam pencawang itu sebelum pihak bomba tiba di tempat kejadian.

“Setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya kepada media ketika ditemui di tempat kejadian malam kelmarin.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kira-kira jam 7.53 malam dan tiba selepas tiga minit kemudian bersama sebuah jentera dan enam anggota.

“Kita menerima panggilan mengatakan berlaku satu letupan di pencawang TNB di sini menyebabkan seorang mangsa cedera parah,” katanya.

Samsudin berkata, Jabatan Penyiasat Forensik Kebakaran akan menjalankan siasatan.

Difahamkan mangsa masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.

Sumber:  Berita Hairan 4/7/2011

JOHOR BAHRU: Kewujudan sindiket menawarkaan produk dan kepakaran bagi mengurangkan penggunaan tenaga elektrik menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor kerugian lebih RM9 juta sejak awal tahun ini.

Perbuatan didalangi kumpulan berkenaan menyebabkan banyak premis perniagaan termasuklah hotel ternama dan kilang membayar jumlah tertentu untuk mengurangkan penggunaan elektrik mereka dan menyebabkan kerugian yang banyak kepada TNB.
Pengurus Besar Negeri, Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin, berkata kerugian berkenaan berdasarkan 1,336 kes kecurian yang dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini membabitkan sektor komersial seperti rumah kedai, hotel, klinik, stesen minyak dan kilang sebagai penyumbang utama.

Katanya, Johor negeri ketiga mencacatkan kes kecurian elektrik tertinggi selepas Selangor dan Pulau Pinang dengan kebanyakan kes pengubahan meter didalangi sindiket yang menawarkan perkhidmatan serta produk pengurangan tenaga.

“Untuk mengatasinya, Unit Pengekangan Kecurian Arus (SEAL) TNB dianggotai 30 petugas diarah menjalankan operasi dari semasa ke semasa di sekitar negeri ini, Negeri Sembilan dan Melaka, ” katanya.

Mohd Aminuddin berkata, kegiatan kecurian elektrik yang didalangi kumpulan itu masih mampu dikesan pihaknya yang turut mempunyai kepakaran memeriksa kebocoran tenaga berkenaan dengan kadar segera.

Curi!

Gambar Hiasan: Ini baru la curi elektrik namanya.....

“TNB menggunakan sistem canggih iaitu Alat Kawalan Jauh Bacaan Meter yang boleh mengesan secara automatik jika berlaku pengurangan penggunaan elektrik secara luar biasa walaupun premis terbabit terletak jauh seperti di Segamat.
“Unit SEAL akan terus datang ke lokasi berkenaan dan jika didapati pemilik premis mencuri elektrik, kami berkuasa menyekat penggunaan elektrik selama tiga bulan di sana mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan helah sindiket yang hanya mahu mengaut keuntungan mudah hingga menyebabkan pengguna didenda serta dikenakan tindakan mahkamah.

Pada masa sama, beliau menjelaskan pengguna turut terdedah risiko kemalangan kerana peralatan pengurangan elektrik terbabit dihasilkan tanpa mengikut piawaian.

Justeru katanya, orang ramai yang curiga dengan kehadiran individu yang mendakwa kakitangan TNB yang menawarkan perkhidmatan pengurangan tenaga itu boleh menghubungi talian TNB Careline di 1554 atau pusat sehenti di 1300 88 5454.

Sementara itu, dalam perkembangan sama beliau berkata, TNB akan menggantikan lebih 250,000 meter elektrik lama berusia lebih 15 tahun di seluruh negeri ini secara berperingkat berikutan ia sudah tidak berkesan termasuk gagal merekodkan bacaan penggunaan sebenar.

Komen: iyeeeee ke? itu bukan alat jimat tu…tu alat curi elektrik….. alat jimat elektrik yang aku tau, hanya mengambil kesempatan ke atas tidak cekapnya peralatan elektrik  atau pendawaian dalaman pengguna, malah dalam sesetengah kes, mengambil kesempatan ke atas kelemahan sistem penghantaran elektrik pemegang lesen. Renung-renungkan….


Berita baik yang ditunggu-tunggu telah tiba.

Tarif elektrik sah naik berkuatkuasa 1 Jun 2011.

Tarif purata meningkat sebanyak 7.12%.

Kenaikan ini mengikut laman web TNB disebabkan oleh:

1. Kenaikan purata 5.12% berikutan peningkatan sebanyak 28% harga gas asli sektor tenaga iaitu daripada RM10.70/mmBTU kepada RM13.70/mmBTU; dan

2. Kenaikan purata 2.0% untuk menampung sebahagian daripada peningkatan kos pembekalan elektrik sejak Jun 2006.

Mengikut kata sumber-sumber kerajaan pula kenaikan ini adalah satu proses perasionalisasian subsidi.

Walaubagaimanapun, pengguna domestik dengan penggunaan kurang 300 kwh tidak terkesan SECARA LANGSUNG dengan kenaikan ini. Pengguna domestik tidak dapat tidak pastinya khuatir yang  pengguna industri & komersial yang mengalami kenaikan tarif sehingga 10% akan cuba meletakkan “bebanan tambahan”  ini kepada pengguna.

Ketika berita ini ditulis, belum ada jadual tarif yang spesifik dikeluarkan TNB. Klik gambar di atas untuk maklumat lanjut.

Kemaskini 31 Mei 2011:

Jadual Tarif Elektrik Berkuatkuasa 1 Jun 2011 (Klik mengikut kategori)

BANDAR PUTERI JAYA – Seorang suri rumah terpaksa bergelut dengan dua penjenayah apabila mereka menyamar sebagai pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membuat pemeriksaan dan penukaran meter yang dikatakan akan diselaraskan ke semua rumah dalam kejadian kira-kira 10 pagi Selasa lalu.

Mangsa, Siti Aishah Murad, 41, dibelasah dengan teruk selain dipijak di bahagian dada dan dicekik oleh dua lelaki sebelum melarikan dua rantai dan gelang emas yang membawa kerugian hampir RM10,000.

Menurutnya, ketika itu dia bersama anak lelaki, Mohamad Nazim Mohd Zubir, 9, baru sahaja masuk ke dalam rumah sebaik selesai kerja menyapu halaman.

“Sebaik keluar dari tandas, saya ternampak seorang lelaki memberi salam dengan memakai pakaian seragam TNB meminta kebenaran masuk ke rumah untuk memeriksa meter.

“Setelah memberi kebenaran untuk masuk ke dalam, lelaki berkenaan meninggalkan motosikalnya di luar rumah dan menyuruh saya membawa bil elektrik serta kad pengenalan untuk diperiksa,” katanya.

Siti Aishah berkata, sebaik sahaja keluar semula dengan membawa dokumen yang diminta, datang pula seorang lagi lelaki dengan memakai baju T berwarna kelabu.

“Pekerja TNB ini kemudian menjelaskan bahawa rakannya akan membuat penukaran meter pada sebelah petang sebaik sahaja selesai pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, secara tiba-tiba, kedua-dua lelaki berkenaan mengheretnya ke dalam rumah dan memijak dada, mencekik leher dengan kuat dan menyepak bahu kiri dan kanan.

Katanya, pergelutan itu bagaimanapun disedari Nazim yang berada di bahagian dapur.

“Saya meminta Nazim melarikan diri dan menyuruhnya meminta bantuan jiran.

“Mungkin disebabkan takut, kedua-duanya melarikan diri apabila melihat saya tidak bermaya. Namun, ketika itu saya boleh mengejar mereka sehingga ke jalan raya,” katanya.

Siti Aishah berkata, jiran hanya menyedari kejadian sebaik sahaja diberitahu anaknya namun, tidak sempat membantu kerana kedua-dua lelaki itu sudah melarikan diri menggunakan motosikal.

Menurutnya, dia mengalami trauma akibat kejadian itu dan sudah membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani.

“Saya menasihatkan kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan individu tidak dikenali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

Sumber: KedahLanie