Singapura Lancar Pertandingan Untuk Jimat Elektrik

Posted: 10 Mei 2008 in Berita Elektrik, Elektrik, Technical
Tag:, , , , , ,

Sumber: BERNAMA, NEA Singapura

Singapura, dalam usaha menangani masalah harga minyak yang semakin melonjak, telah melancarkan satu pertandingan yang dinamakan 10% Energy Challenge buat seluruh penduduknya, dalam usaha menurunkan kadar penggunaan tenaga elektrik sebanyak 10 peratus, dan pemenang akan memperolehi hadiah berupa kereta hibrid yang jimat penggunaan minyaknya.
Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) Singapura yang menerajui usaha menggalakkan penggunaan tenaga secara efisien itu kini mencabar semua 1.12 juta isi rumah di seluruh Singapura untuk mengurangkan bil penggunaan elektrik dalam pertandingan itu.

NEA dalam satu kenyataan berkata pertandingan yang pertama kali seumpamanya diadakan itu disasarkan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk bandar raya pulau itu mengenai penjimatan tenaga, dan memupuk gaya hidup yang menggunakan tenaga elektirk secara efisien dalam kehidupan harian mereka.

Kempen itu akan membolehkan orang ramai menyumbang ke arah membantu usaha Singapura dalam menangani masalah perubahan iklim, menurut kenyataan itu.

Pertandingan itu memerlukan orang ramai mengurangkan penggunaan tenaga elektrik di kediaman masing-masing sebanyak 10 peratus antara Mei dan Ogos ini, untuk memberikan mereka peluang memenangi kereta hibrid berkenaan, dan juga lain-lain hadiah seperti peti sejuk yang jimat tenaga, pendingin hawa, televisyen LCD dan produk-produk lampu, menerusi cabutan bertuah.

Ketua Pegawai Eksekutif NEA Lee Yuen Hee berkata langkah berjimat dalam penggunaan tenaga bukan sahaja dapat membantu menangani masalah pemanasan global, tapi juga membantu dalam aspek ekonomi, yang menyaksikan kenaikan harga minyak mengakibatkan kos elektrik melonjak kepada hampir 25 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata pengurangan 10 peratus dalam penggunaan tenaga itu boleh menjimatkan lebih 680 GWh, dan berdasarkan kepada kadar tarif tahun lepas, ia boleh membawa kepada penjimatan lebih S$162 juta setahun jika dilihat kepada tahap penggunaan tenaga semasa.

Kadar tarif bagi April tahun lepas ialah $18.88/kWh dan ia sudah mencapai $23.88/kWh bulan ini.

Penggunaan tenaga elektrik oleh isi rumah Singapura tahun lepas menjangkau kepada angka 6,820.81 GWh, hampir empat kali ganda lebih tinggi berbanding 20 tahun lalu. Isu rumah mewakili hampir satu perlima daripada penggunaan elektrik secara keseluruhannya di Singapura, yang berjumlah 37,4201 GWh tahun lepas.

 

 

 

p/s:  Kalaulah…. TNB boleh salurkan sikit keuntungan taja pertandingan ni……

           Kalaulah……..

Komen-komen
  1. […] Jika sebelum ini saya ada menulis berkenaan kerajaan Singapura yang mengadakan pertandingan jimat elektrik, untuk pengetahuan anda, di negara Brunei Darussalam, Hari Tenaga diisytihar setiap 24 […]

  2. […] Pertandingan Jimat Elektrik Jika sebelum ini saya pernah tulis berkenaan pertandingan jimat elektrik di Singapura, cerita kali ni pula di Texas, Amerika […]

  3. […] sebelum ini saya pernah tulis berkenaan pertandingan jimat elektrik di Singapura, cerita kali ni pula di Texas, Amerika […]

Tinggalkan komen