Sumber: Harian Metro
10 April 2008
KANGAR: Seorang peniaga pasar malam, Muhammad Redzuan Ahmad, 26, yang cuba menyambung kabel daripada sebuah generator di pasar malam di sini malam tadi terbunuh akibat kejutan elektrik.

Isteri peniaga itu, Masrina Mahyuddin, 27, berkata, semasa kejadian suaminya sedang menyambung kabel generator bagi menerangi kawasan jualan mereka apabila tiba-tiba kejutan elektrik berlaku.
Akibat kejutan elektrik itu, katanya suaminya telah terjatuh tetapi bangun semula seketika sebelum jatuh semula dan pengsan lalu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah di sini. Pasangan itu berniaga pelbagai jenis tikar.
Bagaimanapun bekas tentera laut yang menetap di Kampung Behor Gonchar dekat sini meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. – Bernama




