Sumber: Berita Harian
28 Februari 2007
Sebahagian besar mentol penjimat elektrik yang dijual di pasaran tempatan dan mendapat sambutan menggalakkan orang ramai, sebenarnya lampu biasa dan tidak menjimatkan tenaga.
Jurucakap Suruhanjaya Tenaga berkata, walaupun pelbagai jenama mentol penjimat elektrik dijual di negara ini, hanya dua diakui dan disahkan oleh pihaknya mampu menjimatkan tenaga.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Tenaga menasihatkan orang ramai berhati-hati dan hanya membeli mentol penjimat elektrik yang mempunyai pelekat disahkan Suruhanjaya Tenaga bagi mengelak ditipu.
“Setakat ini cuma dua jenama mentol penjimat tenaga, iaitu keluaran Philips dan Osram diiktiraf Suruhanjaya Tenaga mampu menjimatkan elektrik,” katanya.
Tinjauan mendapati, sekurang-kurangnya lapan jenama mentol penjimat tenaga pelbagai jenis, dijual dengan sebahagian besar diimport dari China dan Indonesia.
Mentol penjimat elektrik itu dijual pada harga antara tiga hingga lima kali ganda lebih tinggi berbanding mentol jenis biasa dan mendapat sambutan baik pengguna yang menyangka ia dapat mengurangkan bil elektrik mereka.
Selain mampu menjimatkan elektrik, kebanyakan pengeluar mentol terbabit juga mendakwa ia tahan sehingga lima kali lebih lama serta lebih selamat digunakan.
Kebanyakan mentol itu juga mempunyai pelekat khas untuk mengelirukan pengguna sedangkan maklumat yang dipaparkan bukannya pengesahan daripada pihak berkuasa atau Suruhanjaya Tenaga.
Lebih membimbangkan, beberapa jenis mentol berkenaan tidak mempunyai label kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga.
Sementara itu, sumber industri berkata, ujian yang dilakukan terhadap beberapa mentol penjimat tenaga mendapati, kebanyakannya menggunakan kadar elektrik sama.
“Ini jelas satu penipuan kepada pengguna kerana mentol terbabit dijual pada harga yang jauh lebih tinggi berbanding jenis biasa semata-mata kerana ia didakwa mampu menjimatkan elektrik,” katanya.
Beliau berkata, kebanjiran mentol penjimat elektrik berlaku kerana mendapat sambutan menggalakkan pengguna berikutan pelarasan tarif elektrik pertengahan tahun lalu.
Selain mentol, pelbagai alat lain yang didakwa mampu mengurangkan penggunaan elektrik untuk dipasang pada meter elektrik rumah atau kilang, turut mendapat sambutan sedangkan keberkesanannya tidak dapat dibuktikan.
Sementara itu, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik (gambar), berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menipu pengguna.






4 Julai 2007 at 21:26
Make the picture bigger la!!! So small you know…I’m not some kind of superwoman who can read such tiny stuff.
xpvsvista: True & admitted! The picture was too small for superwoman like you, but if you look carefully, I’ve rewrite the story!
4 Jun 2009 at 00:38
[...] pertama kempen, Sime Darby menawarkan 100,000 mentol lampu jimat tenaga untuk ditukarkan pada harga diskaun kepada pemilik kediaman dimajukan kumpulan di Subang Jaya, UEP [...]